Tuesday, September 21, 2010

Tak sanggup bayar RM1


MELAKA: Usaha kerajaan untuk membanteras kegiatan curi motosikal di kawasan bandar raya ini bagaikan sia-sia apabila pengguna kenderaan terbabit lebih suka meletakkannya di kawasan tidak selamat.
Hanya mahu berjimat RM1 bagi menggunakan kemudahan alat pengunci roda motosikal (APRM) pengguna dilihat lebih rela meletakkan motosikal mereka di kawasan tersembunyi serta jauh daripada pandangan orang ramai.
Tinjauan Metroplus di kawasan Melaka Sentral, Peringgit, dekat sini, mendapati rata-rata pengguna motosikal lebih suka meletakkan kenderaan mereka di petak letak kereta, di kawasan pejalan kaki dan bawah pokok.

Dua kawasan APRM yang lengkap dengan pengunci serta pekerja yang bertanggungjawab menjaga motosikal pengguna di situ dilihat kosong.

Seorang pengguna motosikal, Roslan Ismail, 26, memberi alasan dia meletakkan motosikal di kawasan bukan tempat letak yang disediakan kerana mahu mengelak dikenakan bayaran RM1.

Katanya, ini kerana dia mahu meletakkan motosikal dalam tempoh singkat walaupun sering berurusan di Melaka Sentral.

“Saya tak mahu bayar RM1 hanya untuk letak motosikal dalam tempoh tidak sampai satu jam. Lagipun saya selalu keluar masuk ke Melaka Sentral kerana ada urusan kerja.

“Kalau saya letak motosikal dalam tempoh lebih tiga kali sehari berapa saya perlu belanjakan setiap bulan,” katanya, di sini.

Roslan berkata, walaupun meletakkan motosikal di APRM selamat, namun dia juga mendakwa sudah memastikan kenderaan itu dikunci dengan lebih rapi.

Seorang petugas Melaka Sentral yang enggan dikenali berkata, terdapat kira-kira 10 tempat letak motosikal secara haram berada di sekitar kawasan perhentian pengangkutan awam bersepadu di negeri ini.

Katanya, kebanyakan mereka terdiri daripada individu yang bekerja dengan peniaga di dalam premis ini atau orang luar yang berurusan di sini.

“Kami tidak boleh mengambil tindakan terhadap mereka kerana itu adalah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sebelum ini ada dilihat anggota penguat kuasa PBT berkenaan menjalankan operasi mengambil tindakan kompaun atau notis terhadap pemilik yang meletakkan motosikal di kawasan larangan.

“Bagaimanapun, ia sudah lama tidak dilaksanakan dan masalah berulang sekali lagi,” katanya.

Beliau berkata, terdapat dua APRM di kawasan Melaka Sentral, namun kebanyakannya masih kosong kerana pengguna enggan meletakkan motosikal mereka di situ.

No comments:

Post a Comment