Monday, September 27, 2010

Muhyiddin Mahu Rakyat Ambil Iktibar Insiden Kekecohan PKR

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu rakyat menilai sendiri keupayaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekiranya parti pembangkang itu mahu mengambil alih pentadbiran negara berikutan beberapa insiden kekecohan yang berlaku pada pemilihan peringkat cabang di beberapa kawasan semalam.
"Kita lihat dalam peringkat awal bila ada proses pemilihan berlaku kekecohan, jadi saya fikir itu masalah mereka, saya tidak mahu komen apa yang berlaku dalam urusan parti itu," katanya kepada pemberita selepas membacakan ucaptama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Simposium Pasaran Modal Dunia di sini, pada Isnin.
Beliau kemudiannya mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perancangan India Dr Montek Singh Ahluwalia.
"Yang penting rakyat harus ambil iktibar dalam memikirkan masa depan negara, tentang bagaimana mereka mentadbir parti dan menghadapi masalah kekecohan yang saya fikir bukan sahaja berlaku di satu dua tempat tetapi di tempat lain," katanya.
Dengan nada sinis, Muhyiddin berkata PKR mungkin tidak memahami prinsip demokrasi sebenar walaupun ia memperjuangkan kepentingan rakyat, ketelusan dan demokrasi. Semalam, pemilihan cabang PKR di beberapa kawasan termasuk Kapar, Klang dan Lembah Pantai kecoh apabila berlaku kejadian tumbuk-menumbuk, kerusi dibaling dan kertas undi dibuang di atas jalan raya apabila perwakilan tidak puas hati dengan cara pemilihan itu dijalankan.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada kementerian bercadang melanjutkan tempoh perkhidmatan guru sandaran dan guru kontrak yang kebanyakannya berakhir hari ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementerian akan memberi keutamaan kepada mereka yang mempunyai kelayakan.
"Kita akan ambil kira mereka kerana mereka sudahpun berkhidmat, walau bagaimanapun perkara ini akan diteliti oleh pihak bahagian berkenaan di kementerian dalam tempoh terdekat," katanya. -BERNAMA
komentar
hahah PKR pn sama ngan UMNO
2 la parti dasar sekular sama dengan umno
tiru la pas contohi la ia

No comments:

Post a Comment