Tuesday, September 21, 2010

Bersekolah di kafe siber


KAJANG: Ketagih permainan video secara atas talian menyebabkan segelintir pelajar sanggup ponteng sekolah demi menghabiskan wang dan masa di kafe siber.
PONTENG...tiga orang pelajar  berada di hadapan  kafe siber dengan berpakaian sekolah.
PONTENG...tiga orang pelajar berada di hadapan kafe siber dengan berpakaian sekolah.
Kumpulan pelajar yang kebanyakannya berusia antara 13 dan lima tahun tanpa rasa bimbang memakai seragam pakaian sekolah ke kafe siber untuk menghabiskan sekitar tiga hingga empat jam bermain permainan video.
Apa yang dikesalkan, tanda amaran pelajar memakai seragam sekolah dilarang memasuki premis yang diletakkan di luar bangunan itu hanya sekadar hiasan kerana golongan remaja itu bebas keluar masuk tanpa sebarang sekatan asalkan mereka membayar kemudahan Internet di situ.

Tinjauan Metroplus di beberapa kafe siber di Taman Jasmin, di sini, mendapati beberapa pelajar tingkatan dua begitu asyik bermain permainan video tanpa mempedulikan waktu persekolahan mereka.

Ketika ditanya kenapa ponteng sekolah, seorang pelajar tingkatan dua berkata, permainan video lebih menyeronokkan berbanding belajar yang dianggapnya membosankan.

“Saya sudah berjanji dengan rakan di luar negara untuk sambung fight game (lawan dalam permainan) ini. Bukan saya seorang saja yang ponteng, ramai lagi kawan yang mahu ikut main game di sini,” katanya yang khusyuk bermain permainan video berkonsepkan peperangan.

Pemerhatian Metroplus di sebuah lagi kafe siber berdekatan mendapati sekumpulan pelajar memasuki kafe siber dengan berpakaian seragam sekolah, tetapi menukar ke pakaian biasa selepas menempah komputer.

Sementara itu, Presiden Kebangsaan Pertubuhan Sukarelawan Seni, Kebudayaan, Sosial dan Pendidikan India Malaysia (PSKSP), Dr N Thanasegeran berkata, pemerhatiannya di kawasan itu mendapati pelajar sekolah menengah terbabit bukan saja ponteng sekolah, tetapi turut ponteng puasa ketika Ramadan lalu.

“Biasanya mereka makan dan minum di sebuah restoran yang agak terlindung bersebelahan kafe siber di situ antara jam 8.30 hingga 10 pagi. Selepas itu ada antara mereka yang menghabiskan masa bermain permainan video atau melepak di tempat lain.

“Saya ada memaklumkan kepada pihak sekolah, tetapi malangnya mereka hanya mengatakan sebarang tindakan pelajar di luar kawasan sekolah bukan berada di bawah bidang mereka,” katanya.

Menurutnya, masalah itu perlu dipandang serius kerana ia membabitkan masa depan pelajar berkenaan.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari mereka ponteng untuk melakukan kerja tidak berfaedah. Saya amat berharap jika pihak pengurusan sekolah tidak mampu berbuat apa-apa, mungkin Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat bertindak menangani masalah itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Shariman Mohd Noor berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

No comments:

Post a Comment