TATA hiasan kediaman ini ringkas dan ruang dalamannya menggunakan konsep moden kontemporari, tetapi ia tampak kemas.
MEMUKAU PANDANGAN...penataan sempurna ruang makan.
Bagi pemiliknya, Arinee Arifin, 34, dan suami, Aminudin Yusof, 38, moden kontemporari antara konsep dekorasi yang menyerlahkan keunikan tersendiri selain memanfaatkan keluasan ruang.
“Sebaik mendiami kediaman ini, saya dan suami sepakat memilih konsep berkenaan selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk kesesuaian perabot dan ruang pergerakan.
“Kami mempunyai anak kecil dan kurang gemar perhiasan padat atau menyakitkan pandangan mata,” katanya yang menetap di kediaman itu Mei lalu.
Malah, pengalaman berada di perantauan sebelum ini tidak sedikit pun mengubah pendirian pasangan berkenaan untuk konsep lain.
Dia melantik pakar hiasan dalaman Lentera Creative Home, untuk melaksanakan impian konsep moden kontemporari.
Penataan ruang tamu diserlahkan menerusi kemasan kertas dinding bermotifkan tumbuhan menjalar rona semula jadi nyata menjadi titik fokal memukau.
“Kemasan perabot polos dan praktikal rona gelap dipilih bagi mengimbangi kesinambungan penataan ruang ini supaya kelihatan lebih menarik serta harmoni.
“Bantal hiasan yang sedikit bercorak melengkapkan konsep penataan selain untuk dimanfaatkan sebagai pengalas ketika bersantai di ruang ini,” katanya Sementara itu, bunga hiasan ringkas menyerikan meja kopi supaya ruang tampak lebih luas tanpa perlu meletak terlalu banyak perhiasan.
Ruang menonton atau keluarga bersebelahan ruang tamu itu dihias indah dengan sofa dan perabot ringkas lagi selesa.
Hamparan permaidani empuk menjadikan kemasan lantai di ruang itu tampil berbeza dan selesa bersantai.
Suasana lebih bermakna apabila melihat keindahan taman di luar dengan desiran air pancuran dari kolam.
Ia bagaikan terapi semula jadi terbaik yang mengilhamkan ketenangan sepanjang masa.
Di ruang makan, dia menampilkan perabot ala mewah untuk mencuri perhatian kerana penataan diimbangi dengan rona terang pada dinding.
“Reka letak cermin hiasan yang melatari dinding fokal ruang ini bagi menzahirkan pandangan lebih luas dan visual menarik,” katanya.
Ruang dapur pula tetap hebatnya dengan kabinet dapur moden kontemporari unik dengan reka bentuk yang mementingkan gaya masa kini.
Ketika melangkah ke tingkat atas, mata terpukau dengan ruang santai yang masih mengekalkan konsep moden kontemporari.
Kertas dinding motif pilihan berlatarkan rona gelap diimbangi dengan kemasan langsir rona terang bersama perabot ringkas yang selesa.
“Ruang ini menjadi tempat kami menonton sambil bersantai atau melihat anak-anak bermain.
“Sengaja dua ruang santai diwujudkan bagi mengeratkan ikatan kekeluargaan dan memberi kebebasan kepada anak-anak bermain,” kata suri rumah yang berkelulusan Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.
Bilik tidur utama pula lebih menyerlah dengan kemasan ala romantik dengan rona ungu lembut sebagai pilihan utama.
“Perkara yang paling penting untuk melengkapkan penataan bilik tidur adalah aspek kebersihan dan kekemasan.
“Rona lembut pula memberikan ketenangan sepanjang masa dan terapi sempurna yang menjanjikan ketenangan,” katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata hujung minggu antara waktu terbaik untuk dia dan keluarga melakukan aktiviti mengemas dan menyelenggara ruang kediaman.
No comments:
Post a Comment