DI TENGAH-TENGAH kegilaan peminat menonton program realiti hiburan di televisyen, sebuah agensi di Britain menawarkan sesuatu yang berbeza – mencari model paling hodoh.
Mengenakan syarat semata-mata berdasarkan kepada penampilan fizikal, program Britain’s Ugliest Models’ itu akan mula ditayangkan di televisyen hujung minggu lalu.
Ia adalah program antidot kepada rancangan penuh glamor, seperti Britain’s Next Top Model.
Melalui program unik itu, pengendalinya, Ugly Models, menyerahkan kepada peserta untuk mempamerkan ‘kecantikan’ mengikut perspektif mereka.
Setakat ini, model agensi itu pernah muncul dalam pelbagai iklan, dari filem James Bond hinggalah syarikat Marks and Spencer.
JUARA DUNIA… pemegang rekod membuat memek muka hodoh, Tommy Mattinson, antara watak mendapatkan khidmat agensi Ugly Models
Model itu pula terdiri daripada pelbagai jenis bentuk fizikal, sama ada terlalu kurus atau gemuk dan berusia di antara 18 hingga 100 tahun.
Dengan bermulanya program itu, agensi dan modelnya benar-benar berpegang kepada definisi ‘cantik’ mengikut pelopor rekaan fesyen moden Perancis, Coco Chanel, iaitu ‘untuk memastikan tiada saingan, seseorang mesti sentiasa berbeza.’ Pada laman sesawang Ugly Model, agensi itu mencari model bagi kategori mudah – kanak-kanak lelaki dan wanita.
WAJAH KOMERSIAL… sebahagian daripada watak digayakan model agensi Ugly Models
Namun, bakat yang benar-benar diperlukan adalah seseorang yang menampilkan kelainan tersendiri dan eksotik.
PELIK… model yang berjaya menampilkan wajah berbeza akan terpilih.
Ketika ini, agensi berkenaan menguruskan beberapa model paling luar biasa, seperti Sultan Kosen yang memiliki ketinggian 2.5 meter dan dianggap manusia tertinggi di dunia, dan Elaine Davidson (mempunyai 2,520 tindik di seluruh badan).
Dalam program Britain’s Ugliest Models’ itu, penonton akan diperlihatkan kepada pelbagai pendedahan, termasuk dunia seorang pesara pengurus bank yang mula menindik tubuhnya ketika berusia 75 tahun. Dia kini memiliki 241 tindik di pelbagai bahagian tubuhnya.
Ugly Models mula beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu dan kini dimiliki Marc French, 47.
Kata French, mesej yang cuba disampaikan melalui program itu adalah: Sesuatu yang konvensional tidak lagi menarik hati.
“Apa yang menyebabkan model hodoh berbeza daripada orang lain adalah rasa selesa mereka dengan apa yang ada pada diri masing-masing.
“Kebanyakan model hari ini kelihatan amat sopan dan normal, tetapi di Ugly Models, kami menemukan watak berbeza dan istimewa pada mereka,” katanya.
Walaupun dianggap hodoh dan ganas, French berkata, agensinya menerima permintaan tinggi daripada pelbagai syarikat, termasuk pengeluar jenama terkemuka seperti Calvin Klein dan Italian Vogue.
“Jika untuk filem, kami baru saja menghabiskan penggambaran cerita Harry Potter, selain muncul dalam semua filem James Bond,” katanya.
Untuk mendapatkan bakat baru, agensi Ugly Models sentiasa membuka pintu kepada sesiapa yang berminat.
Misalnya, pada bulan depan mereka akan mengadakan uji bakat bagi mendapatkan model baru.
“Senarai yang ingin mencuba nasib sangat panjang,” katanya.
Menurut French, ramai orang yang selesa dengan penampilan unik masing-masing.
“Ada wanita yang sedih dengan kegemukan, tetapi sejak diberi peranan sebagai model, dia kini amat gembira dengan dirinya,” katanya. ~~myMetro
No comments:
Post a Comment